PETALING JAYA 23 Jun - Padiberas Nasional Bhd (Bernas) merancang untuk mewujudkan 300 kedai komuniti dengan pelaburan RM90 juta menjelang 2010 dalam usaha menawarkan barangan pada harga yang berpatutan.
Sejak April lalu, Bernas telah mengendalikan empat buah kedai berkenaan yang kesemuanya terletak di Selangor.
Selain menawarkan beras, kedai tersebut turut menawarkan barangan makanan asas yang lain seperti gula, tepung dan minyak masak.
Pengarah Urusannya, Bakry Hamzah berkata, empat kedai komuniti tersebut telah dibuka di Selangor iaitu Setia Alam, Bukit Tinggi, Subang Perdana dan Bukit Jelutong.
Beliau memberitahu, tujuan pembukaan kedai berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk negara ini menikmati barangan keluaran Bernas yang berkualiti pada harga yang kompetitif.
Jelasnya, konsep perniagaan di kedai komuniti Bernas adalah jujur dan tiada konsep penipuan yang membolehkan rakyat menikmati beras ST 15 dan SST 5 yang sebenar.
Katanya, ini berikutan banyak syarikat pengeluar beras yang menipu pelanggan sewaktu dalam proses pembungkusan beras.
''Melalui kedai komuniti ini, rakyat akan dididik mengenai jenis beras campuran dan kualiti yang ditawarkan mengikut bungkusannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Bernas di sini hari ini.
Bernas menyasarkan untuk membuka 100 hingga 120 kedai komuniti pada tahun ini manakala 200 buah lagi pada tahun depan.
Menurut Bakry, setiap kedai komuniti dianggarkan menyumbang jualan harian antara RM7,000 hingga RM11,000 malah ada yang mencatatkan jualan lebih RM20,000 sehari.
''Sekiranya 300 buah kedai berkenaan beroperasi pada 2010 kelak, Kumpulan Bernas dijangka mencapai perolehan lebih RM3 juta daripada segmen kedai komuniti,'' ujarnya.
Katanya, semua 300 kedai komuniti tersebut dijangka menyumbang sebanyak 50 peratus kepada perolehan kumpulan Bernas.
Ketika ditanya mengenai prestasi Bernas pada tahun ini, Bakry berkata, syarikat akan kembali merekodkan keuntungan setelah rugi pada tahun lalu.
'' Bagaimanapun, harga beras tidak menentu sekarang, namun ia stabil di peringkat dunia selain dijangka lebih rendah pada suku tahun kedua tahun ini,'' katanya.