KUALA LUMPUR 24 Jun - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangkakan permintaan terhadap produk besi dan keluli meningkat tahun ini berikutan pengenalan dasar dan peraturan baru berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Kamaruddin Ismail berkata, dasar berkenaan bertujuan meningkatkan daya saing industri tempatan dan juga menggalakkan pengeluaran produk yang lebih kompetitif untuk pasaran luar negara.
Beliau berkata, langkah-langkah tersebut termasuk meliputi lesen pengilang diberikan tanpa sekatan bagi mengeluarkan produk besi dan keluli.
Katanya, lesen import dan eksport (AP) diberikan secara terbitan percuma dan penurunan tarif berperingkat bagi produk besi panjang dan kepingan.
"Duti import ke atas produk panjang akan dikurangkan kepada 10 peratus bermula 1 Ogos dan lima peratus yang akan bermula pada 1 Januari 2010 dan tahun-tahun berikutnya,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media mengenai kajian dasar semula dasar industri besi dan keluli di sini hari ini.
Hadir pada majlis ialah Presiden Pengerusi Jawatankuasa Dasar Perdagangan dan Industri, Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF), Chow Chong Long.
Kamarudin menambah, pengecualian duti import diberikan ke atas produk yang tidak dikeluarkan oleh pengeluar tempatan.
Katanya, pelaksanaan standard mandatori turut dikenakan ke atas produk keluaran tempatan dan import.
"Dasar baru berkenaan juga merupakan liberalisasi industri besi dan keluli yang dijalankan secara beransur-ansur,'' ujarnya.
Impak kepada industri tempatan, menurut Kamarudddin adalah memberi peluang kepada pengeluar kecil dan sederhana mencari bahan mentah yang tidak dikeluarkan di dalam negara.
Ia juga memperluaskan persaingan dengan mengurangkan kos pengeluaran selain menggalakkan aktiviti eksport.