June 27, 2009

Krisis manfaat negara sedia kewangan Islam

Oleh Azli Ayob azliayob@bharian.com.my

MUHYIDDIN dan Pengerusi RAM Holdings Bhd, Tan Sri Siti Norma Yaakob (enam dari kiri) penerima Anugerah RAM League 2008 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Malaysia tarik sumber dana bukan tradisional terutama Asia BaratKRISIS kewangan semasa yang dikaitkan dengan kelemahan sistem konvensional membuka peluang kepada negara penyedia perkhidmatan kewangan Islam seperti Malaysia menarik kemasukan dana dari sumber bukan tradisional terutama dari Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Berikutan sentimen lebih berhati-hati di tengah-tengah keadaan ekonomi semasa, pelabur kini beralih kepada sistem kewangan Islam yang lebih stabil dan kukuh berbanding sistem konvensional," katanya.

Muhyiddin berkata, dilihat daripada perkembangan itu wujud potensi besar bagi sektor kewangan Islam global yang ketika ini mempunyai aset bernilai RM750 bilion dan dijangka mencecah RM1 trilion menjelang 2010.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Malaysia sedang bergerak pantas untuk muncul sebagai hab serantau bagi kewangan Islam, sejajar usaha menjadikan negara ini pusat kewangan antarabangsa. Katanya, tahun lalu kira-kira 60 peratus daripada terbitan sukuk global adalah dari Malaysia, menjadikan negara ini peneraju dalam terbitan sukuk antarabangsa.

"Malah, pada suku pertama tahun ini saja nilai terbitan sukuk di Malaysia sudah berjumlah RM6.4 bilion," katanya berucap pada majlis anugerah Anugerah RAM League 2008 di Kuala Lumpur, malam tadi. Muhyiddin berkata, langkah liberalisasi pasaran kewangan negara baru-baru ini yang membenarkan penubuhan dua bank Islam dan dua syarikat pengendali takaful keluarga milik asing baru, di samping meningkatkan had pegangan asing sehingga 70 peratus dalam bank Islam tempatan akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Pada majlis malam tadi, Muhyiddin menyampaikan anugerah kepada The Royal Bank of Scotland Bhd, RHB Investment Bank Bhd dan Standard Chartered Bank Bhd yang merangkul Anugerah BluePrint bagi pencapaian urus janji cemerlang Anugerah RAM League 2008 anjuran RAM Holdings itu. Ia juga membolehkan bank berkenaan menerima Anugerah Penghormatan Industri.

Selain itu, 32 anugerah dalam 12 kategori disampaikan semalam. Antara pemenangnya ialah CIMB Investment Bank Bhd, Citibank Bhd, HSBC Bank Malaysia Bhd, AmInvestment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd.