KUALA LUMPUR 28 Jun - Harga saham di Bursa Malaysia mungkin naik minggu ini kerana perkembangan pada persidangan Invest Malaysia 2009 berkemungkinan menjadi pemangkin bagi pasaran.
Seorang penganalisis berkata, para pelabur menunggu-nunggu pengumuman berhubung insentif bagi menarik pelaburan asing dan langkah-langkah liberalisasi bagi pasaran modal semasa persidangan itu.
Persidangan Invest Malaysia 2009 yang akan diadakan dari 30 Jun hingga 1 Julai di Kuala Lumpur, dihoskan oleh Bursa Malaysia dan CIMB Investment Bank.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.
Pada minggu baru berakhir, pasaran menjejaki perkembangan dalam bursa-bursa serantau apabila harga-harga saham melantun pada hari Rabu daripada arah aliran menurun pada Isnin dan Selasa, ekoran kegiatan membeli saham murah.
Bursa Malaysia meneruskan arah aliran meningkatnya pada Khamis apabila sentimen dirangsang oleh keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan untuk mengekalkan kadar pemberian pinjaman utama Amerika Syarikat (AS) pada paras rendah iaitu sifar hingga 0.25 peratus.
Kebanyakan harga saham melabuhkan tirai minggu lalu pada paras lebih tinggi dengan sedikit pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Secara perbandingan Jumaat ke Jumaat, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) mengakhiri dagangan minggu ini lebih tinggi pada 1,075.77 daripada 1,059.5 Jumaat sebelumnya.
Indeks Kewangan naik 29.47 mata kepada 8,523.17 daripada 8,493.7 dan Indeks Perladangan mengukuh 67.37 mata kepada 5,396 daripada 5,328.63.
Indeks Perusahaan susut 7.48 mata kepada 2,346.57 daripada 2,354.05 manakala Indeks FBMEmas melonjak 112.93 mata kepada 7,211.46 daripada 7,098.53.
FBM2BRD susut 15.35 mata kepada 4,798.8 daripada 4,814.15, FBM30 melompat 110.08 mata kepada 6,905.91 daripada 6,795.83 dan FBMMDQ hilang 22.54 mata kepada 4,116.97 daripada 4,139.51 Jumaat sebelumnya.
Jumlah dagangan minggu lalu merosot kepada 6.655 bilion saham bernilai RM6.932 bilion 7.921 bilion saham bernilai RM8.203 bilion minggu sebelumnya.
Di Papan Utama, jumlah dagangan mengecil kepada 5.757 bilon saham bernilai RM6.686 bilion daripada 6.505 bilion saham bernilai RM7.777 bilion.
Papan Kedua mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 475.424 juta saham bernilai RM168.85 juta daripada 915.214 juta saham bernilai RM319.262 juta.
Pasaran Mesdaq menyaksikan jumlah dagangannya berkurangan 280.855 juta saham bernilai RM49.336 juta daripada 345.965 juta saham bernilai RM65.39 juta.
Waran opsyen belian bertambah kepada 111.81 juta saham bernilai RM16.843 juta daripada 99.409 juta saham bernilai RM20.063 juta. - BERNAMA