SINGAPURA 23 Jun - Harga minyak mentah global menjunam ke paras bawah AS$67 (RM237.18) pada dagangan Asia hari ini ekoran percanggahan tanda mengenai prospek pemulihan awal kemelesetan ekonomi global.
Kejatuhan pasaran saham dunia juga telah menekan pasaran minyak mentah, manakala kekukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan peniaga meraih keuntungan disebabkan kenaikan harga komoditi itu melebihi AS$73 (RM258.42), kata penganalisis.
Pada dagangan tengah hari kontrak utama New York, minyak mentah berkualiti tinggi Light Sweet untuk penghantaran Ogos jatuh AS$0.85 (RM3) kepada AS$66.65 (RM235.94) setong.
Kontrak Julai berada pada paras AS$66.93 (RM236.93) dan akan luput pada Isnin depan.
Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Ogos menyusut AS$0.83 (RM2.93) kepada AS$66.15 (RM234.17) setong.
Perniaga berkata, kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi global mungkin lewat dari jangkaan memburukkan lagi sentimen, manakala kejatuhan teruk pasaran saham Amerika Syarikat (AS) semalam meneruskan halangan pemulihan.
Sementara itu, pasaran saham Asia turut mengalami penurunan, diterajui oleh pasaran saham Jepun merudum sebanyak 2.82 peratus ekoran jualan besar-besaran di Wall Street.
''Penentu harga minyak mentah telah melangkaui cara tradisional iaitu hanya melalui permintaan dan bekalan. Tetapi ia turut melibatkan tekanan makroekonomi yang menandakan pemulihan ekonomi global atau sebagai tempat selamat daripada dolar, inflasi atau risiko sistemik,'' kata Phil Flynn dari Alaron Trading.
Bank Dunia semalam, telah menurunkan unjuran ekonomi negara-negara membangun dan menjangkakan pertumbuhan pada kadar 1.2 peratus pada tahun ini dan memberi amaran bahawa lebih banyak langkah perlu dilaksanakan sebelum pemulihan berlaku. - AFP