June 24, 2009

Ekonomi berkembang separuh kedua

KOTA KINABALU 23 Jun - Ekonomi negara dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, sebelum stabil dan terus berkembang sehingga tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan bagaimanapun berkata, keadaan itu bergantung kepada perkembangan ekonomi kuasa-kuasa besar.

"Ekonomi kita bergantung kepada perkembangan ekonomi kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun termasuk juga Rusia, Brazil, China dan India," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Dialog Pelaburan dan Perdagangan dan Seminar Pelaburan Dalam Sektor-sektor Pembuatan dan Perkhidmatan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Katanya, selain faktor itu, ekonomi negara dilihat mampu berkembang setelah menerima suntikan dana melalui pakej rangsangan kedua sebanyak RM60 bilion, Mac lalu.
Jacob berkata, kerajaan yakin ekonomi negara mampu berkembang meskipun menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Jelas beliau, begitu juga dengan eksport kasar negara turut menurun sebanyak 20 peratus dan bagi eksport komoditi dan pembuatan, sektor itu telah merudum sehingga 18 peratus.
Bagi sektor pembuatan katanya, jumlah pelaburan dalam dan luar negara bagi empat bulan pertama tahun ini ialah RM8.3 bilion.

"Daripada jumlah itu, pelaburan asing khususnya dari Singapura, Taiwan dan Jepun adalah RM3.9 bilion atau 47 peratus manakala pelaburan domestik pula RM4.4 bilion atau 53 peratus," katanya.

Beliau berkata, pelaburan domestik adalah berasaskan produk logam iaitu sebanyak RM1.6 bilion, produk petroleum (RM693.6 bilion) serta kimia dan produk kimia (RM447.5 bilion).
Melalui pelaburan tersebut katanya, sebanyak 238 projek diluluskan dan lebih 17,058 peluang pekerjaan dapat diwujudkan, antaranya bidang kejuruteraan dan penganalisaan sistem.

Beliau memberitahu, jumlah dagangan Malaysia bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini ialah RM285 bilion melalui jumlah eksport sebanyak RM162 bilion dan import (RM122 bilion).