June 26, 2009

Courts buka 10 cawangan baru

COURTS Malaysia (Courts), peruncit perabot dan barang elektronik pengguna terbesar di Malaysia, akan membuka 10 cawangan baru di seluruh negara dalam tempoh 18 bulan akan datang sebagai sebahagian rancangan pengembangan rangkaiannya.

Pengarah Negara Courts, Chris Yong, berkata daripada jumlah itu, tiga cawangan akan dibuka di sekitar Lembah Klang yang menjadi pasaran utamanya manakala bakinya di negeri lain.

Katanya, syarikat mengambil perunding dari University of Leeds, United Kingdom untuk membuat kaji selidik mengenai pemilihan lokasi cawangan barunya dari segi demografi, kuasa beli dan pendapatan pengguna.

“Kami sudah mengenal pasti sebahagian lokasi cawangan baru berkenaan, manakala yang lain masih dalam rundingan,” katanya pada taklimat media mengenai hasil pelaksanaan penjenamaan semula Courts di Petaling Jaya, semalam.

Courts yang pernah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, kini mempunyai 49 cawangan di seluruh negara, termasuk tujuh gedung besar yang dikenali sebagai Courts Megastore dengan disokong oleh kira-kira 1,200 kakitangan.

Sepanjang dua tahun lalu, dua cawangan baru dibuka, manakala tiga lagi cawangan ditempatkan semula ke lokasi baru.

Yong menambah, syarikat dapat meneruskan rancangan pengembangan rangkaian berikutan kedudukannya yang kini lebih mantap dari segi organisasi dan kewangan hasil daripada penjenamaan semulanya.