Prospektus adalah satu dokumen pelawaan, iaitu, satu dokumen yang mempelawa orang
ramai melabur di dalam syarikat yang menerbitkan prospektus dengan membeli sekuritinya.
Prospektus mestilah mengandungi semua maklumat yang relevan mengenai syarikat yang
membuat IPO, dan perlu dikemukakan kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.
Oleh yang demikian, maklumat yang terkandung di dalam prospektus adalah syarat-syarat bagi
pelawaan atau tawaran yang dibuat. Adalah penting bagi pelabur membaca dan memahami
syarat-syarat di dalam prospektus berkenaan agar dapat menilai bagi dirinya sendiri risiko
atau kelebihan melabur di dalam syarikat berkenaan.
Penerbitan, pengedaran atau penyebaran prospektus IPO melibatkan tiga langkah. Pertama,
syarikat yang memohon penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) atau Bursa
Dagangan Sekuriti dan Sebutharga Automasi Malaysia (MESDAQ) perlu mendapat kelulusan
daripada bursa-bursa berkenaan untuk prospektus tersebut;
kedua, prospektus tersebut
hendaklah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk penelitian dan kelulusan; dan
ketiga, prospektus tersebut hendaklah dihantar kepada Pendaftar Syarikat (ROC) untuk serah
simpan dan pendaftaran.