KUALA LUMPUR 28 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan kerjasama dengan institusi pakar pengkomersialan Amerika Syarikat (AS) iaitu SRI International (SRII) untuk mengkomersialkan penyelidikan dan inovasi penyelidik UPM di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata, SRII akan menilai dan mempercepatkan proses pengkomersialan sebelum membantu untuk mencari syarikat yang akan memasarkan produk terlibat.
"Proses ini akan memilih 25 projek berpotensi untuk menjalani latihan pengkomersialan seperti menyediakan pelan perniagaan dan menjadikan produk lebih menarik.
Pada peringkat akhir, SRI akan memilih tiga produk sahaja untuk dikomersialkan dan dibawa ke California untuk penilaian seterusnya yang lebih teliti dan mencari rakan pengkomersialan," katanya pada majlis menandatangani perjanjian (MoA) dengan SRII di sini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Prof. Nik Mustapha dan Presiden SRII, Dr Curtis R. Carlson.
Prof. Nik Mustapha berharap sekurang- kurangnya satu daripada tiga produk UPM boleh dikomersialkan di peringkat global dengan projek yang terpilih akan disenaraikan di Bursa Saham New York sebelum nilai produk akan meningkat naik.
Beliau berkata, kerjasama dengan SRII sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun itu melibatkan kos kontrak sebanyak AS$835,000 (RM2.9 juta).
"UPM institusi pertama di Malaysia yang menggunakan kepakaran SRII.
Walaupun proses penilaian SRII amat ketat, mereka berpengalaman memadankan produk UPM dengan modal teroka antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, SRII membantu penyelidik UPM bekerjasama dengan pakar teknikal dan domain pasaran yang sesuai di syarikatnya untuk meningkatkan dan mempercepatkan proses pengkomersialan dan pemasaran inovasi baru melalui perlesenan teknologi.
"Tetikus komputer ialah satu contoh kejayaan penyelidikan yang telah dikomersialkan oleh SRII," katanya merujuk syarikat pakar inovasi dari California itu yang telah mengkomersialkan 55 ribu inovasi penyelidikan antarabangsa dalam tempoh 60 tahun. - Bernama