May 30, 2009

OPEC kekal pengeluaran minyak mentah

VIENNA 29 Mei - Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC) mengekalkan pengeluaran minyak mentah walaupun berhadapan dengan masalah lebihan bekalan, namun mereka percaya permintaan akan mula meningkat pada tahun ini.

Simpanan minyak mentah di negara-negara industri berada pada paras tertinggi, dengan bekalan mencukupi untuk penggunaan selama dua bulan.

Selain itu, terdapat juga tambahan tong- tong minyak di dalam tangki minyak di lautan yang menjadi tempat penyimpanan terapung.

Walaupun mempunyai lebihan bekalan, yang pada kebiasaannya akan menurunkan harga, namun harga semasa minyak mentah terus melonjak melepasi AS$60 (RM210) setong dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

OPEC telah mengambil langkah untuk tidak menurunkan kadar pengeluaran, dengan harapan permintaan akan meningkat semula.

''Terdapat kepercayaan di dalam pertubuhan, bahawa kemelesetan ekonomi telah berlalu, dan pemulihan telah bermula,'' kata David Kirsch dari PFC Energy.

Tidak berapa lama dulu, penurunan pengeluaran adalah perlu untuk menyokong pasaran.
Kenyataan menyakinkan itu, menggambarkan seluruh dunia optimistik, dengan data dari AS menunjukkan keyakinan pengguna dan sebagai tanda pengeluaran industri kembali bernafas.
Namun, kebanyakan industri masih berada dalam kemelesetan yang buruk dan pakar ekonomi menjangkakan pemulihan ekonomi akan berlaku secara perlahan.

Bagi pasaran minyak mentah, pemerhati Agensi Tenaga Antarabangsa menurunkan unjuran permintaannya untuk kali kesembilan pada bulan ini, menjangkakan penggunaan minyak mentah akan merudum pada tahun ini. Kali terakhir kejatuhan teruk berlaku adalah pada 1981.
Sesetengah penganalisis berpendapat, terdapat risiko harga minyak akan kembali jatuh sekiranya kemelesetan ekonomi di negara-negara utama berterusan. - AFP