May 27, 2009

Industri kereta mengecewakan

Oleh WAN NAJIB WAN DAUDnajib.daud@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini menyifatkan industri pembuatan kereta negara masih tidak berdaya saing meskipun menikmati pelbagai insentif kerajaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Kamaruddin Ismail berkata, industri pembuatan kereta negara dilihat hanya berjaya di dalam negara tanpa ada usaha meluaskan pengeksportan.

Beliau berkata kegagalan untuk mengeksport lebih banyak kereta ke luar negara dilihat menggagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeksportan kereta di peringkat Asia Tenggara.

"Berapa banyak kereta kita berada di pasaran luar? Inilah persoalannnya sekarang kenapa kita tidak mampu untuk mengeksport lebih banyak kenderaan di luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini hari ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini mengumpulkan para pemain industri permotoran tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan pelbagai masalah dan hala tuju industri tersebut sama ada di peringkat domestik dan global.

Menurut Kamaruddin, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan geran kepada pengeluar kereta dan juga yang terlibat di dalam industri tersebut.

Komitmen yang ditunjukkan kerajaan selama ini amat tinggi kerana apa jua insentif berkaitan dengan industri permotoran akan diberi perhatian agar terus menjadi bidang yang berdaya saing.

Oleh itu katanya, tidak timbul sebarang isu jika ada pengeluar kereta tempatan dan pemain industri berkaitan menyatakan tiada sokongan dari kerajaan selama ini.

Malah beliau menegaskan, MITI bersedia mendengar dan duduk semeja dengan pemain industri untuk mencari dan memikirkan apa jenis insentif yang boleh diberi agar industri automotif terus berdaya maju.

"Kerajaan sedia mendengar apa juga permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri tetapi kita perlu duduk semeja untuk mencari dan memikirkan apa lagi jenis insentif yang boleh diberikan agar mendapat manfaat kepada industri," katanya.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut memberitahu sepatutnya Malaysia telah menjadi pusat pengeksportan kereta General Motors tetapi disebabkan beberapa perkara melibatkan hal teknikal, cadangan tersebut telah dibatalkan dan dipindahkan ke negara lain.

Ujarnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku namun kerajaan mengambil sikap terbuka untuk menangani masalah itu agar peluang keemasan tersebut tidak dilepaskan lagi di masa depan.