May 30, 2009

Dagangan ringgit tinggi

KUALA LUMPUR 29 Mei - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang tempatan itu memperoleh momentum dalam dagangan awal selepas penurunan semalam, kata para peniaga.

Mereka berkata ringgit mengukuh dengan penurunan dolar AS berikutan keyakinan bahawa krisis ekonomi global mungkin semakin reda.

Dolar AS merupakan mata wang yang selamat dalam keadaan krisis ekonomi dan prospek ekonomi global yang lebih baik akan membawa kepada penurunan dolar AS kerana minat terhadap mata wang lain memperoleh momentum, kata para peniaga.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada 3.4940/4990 daripada 3.5200/5240 semalam.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura pada 2.4158/4226 daripada 2.4189/4242 semalam dan juga berbanding yen Jepun pada 3.6241/6308 daripada 3.6371/6420 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding pound British pada 5.6187/6285 daripada 5.6088/6166 semalam dan juga berbanding euro pada 4.9010/9091 daripada 4.8780/8853 sebelumnya. - Bernama