May 27, 2009

Bank Negara kekal kadar OPR 2 peratus

BANK Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah tempatan pada paras semasa kerana berpendapat ia mencukupi untuk menyokong permintaan dalam negara. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu dalam mesyuaratnya semalam memutuskan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada dua peratus.

“Penilaian semasa menunjukkan inisiatif dasar monetari terkumpul dan langkah meningkatkan akses kepada pembiayaan adalah mencukupi untuk menyokong permintaan dalam negara.

“Dengan adanya mudah tunai yang besar dan mencukupi dalam sistem, penekanan terus diberikan pada usaha memastikan aliran kredit mencukupi kepada semua segmen ekonomi,” kata bank pusat itu dalam kenyataannya mengumumkan keputusan itu semalam.

Bank Negara berkata, ekonomi negara terus terjejas oleh penguncupan ketara dalam permintaan luar, yang menyebabkan kemerosotan eksport dan pengeluaran perindustrian. Akibatnya, katanya, ekonomi Malaysia menguncup dengan nyata pada suku pertama tahun ini dan ia berterusan hingga suku kedua.