April 23, 2009

Ringgit DiTutup Rendah

KUALA LUMPUR 22 April - Ringgit ditutup rendah berbanding dollar AS hari ini dengan mata wang tempatan mengalami tekanan susulan penyiaran data inflasi Mac, kata peniaga.

Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun pada Mac 2009, perlahan daripada 3.7 peratus peningkatan pada bulan sebelumnya.

Pada 5 petang, ringgit sedikit rendah berbanding dollar AS pada 3.6420/6470 berbanding 3.6400/6450 pada penutup semalam berikutan meningkatnya kebimbangan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengurangkan lagi kadar faedah.

"Kadar inflasi itu adalah dalam jangkaan. Beberapa penganalisis percaya bank pusat mungkin mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 50 mata asas lagi kepada 1.5 peratus," kata seorang peniaga.

Pada penutup hari ini, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia tinggi berbanding dollar Singapura kepada 2.4148/4205 berbanding 2.4157/4208 semalam, namun rendah berbanding yen Jepun pada 3.7061/7120 daripada 3.7022/7092 sebelumnya.

Ringgit mengukuh berbanding pound British pada 5.2936/3024 berbanding 5.3155/3246 semalam dan tinggi berbanding euro pada 4.7084/7159 daripada 4.7265/7334 sebelumnya.
- Bernama