MALAYSIA mampu pulih lebih cepat daripada yang dijangkakan menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM). “Berdasarkan pengalaman beliau selama ini bersama barisan Menteri Kabinet yang akan diumumkan tidak lama lagi, kami yakin Perdana Menteri baru akan membantu kami mencari jalan keluar ke laluan betul,” kata Presiden FMM, Datuk Mustafa Mansur.
Beliau berkata, FMM berpendapat seorang pemimpin yang berkesan boleh bertindak pada bila-bila masa tanpa mengira keadaan persekitaran ekonomi, walaupun ada yang berkata ia mungkin masa paling buruk bagi seorang Perdana Menteri baru.
Katanya, penyerahan kepimpinan lancar memberi isyarat mengenai penerimaan Najib oleh semua, dan ini memang baik untuk masa depan Malaysia. “Ini terutama semasa tempoh sukar ini, negara kita memerlukan usaha bersepadu untuk menuju pemulihan daripada masalah ekonomi global semasa. “Dalam senario semasa, kita tidak wajar membuang masa untuk isu tidak produktif lain, sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan untuk mencari penyelesaian,” katanya. - Bernama