HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit semalam, sekali gus mencerminkan peningkatan sentimen pelabur di bursa tempatan, terutama dalam sektor perbankan dan kewangan. Ketika ditutup, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) meningkat 2.97 mata atau 0.311 peratus kepada 956.68, selepas mencecah paras tinggi seharian 961.18 pada 4.14 petang. KLCI dibuka 2.06 mata lebih rendah pada 951.65.
Peniaga berkata, belian susulan dalam saham perbankan dan kewangan, terutama Maybank, berjaya menolak indeks ke aras positif sebelum penutupan urus niaga. Indeks Kewangan naik 45.01 mata kepada 7,289.36, Indeks Perindustrian meningkat 2.63 mata kepada 2,233.62 dan Indeks Perladangan mengukuh 20.67 mata kepada 4,959.33.
Indeks FBMEmas lebih tinggi 19.12 mata kepada 6,309.89, Indeks FBM30 susut 4.48 mata kepada 6,091.32, sementara FBM2BRD pula menambah 39.2 mata kepada 4,129.18 dan FBM-MDQ melonjak 134.14 mata kepada 3,357.52.
Saham untung mengatasi saham rugi dengan 439 berbanding 216 sementara 174 kaunter tidak berubah, 415 tidak diniagakan dan 37 digantung. Jumlah dagangan mengukuh kepada 1.656 bilion saham bernilai RM1.394 bilion daripada penutup Selasa iaitu 1.481 bilion unit bernilai RM1.194 bilion.
Saham aktif, KNM menokok lima sen kepada 55 sen, Axiata Group-OR susut sembilan sen kepada 56 sen sementara UEM Land naik 2.5 sen kepada 96 sen. Di kalangan saham perbankan, Maybank mengukuh 18 sen kepada RM4.32 dan Hong Leong Bank naik lima sen kepada RM5.70.
Saham berwajaran tinggi, Sime Darby dan IOI Corporation, masing-masing tidak berubah pada RM6.45 dan RM4.30, Tenaga susut 10 sen kepada RM6.50 dan Bumiputra-Commerce berkurangan 20 sen kepada RM7.70. Jumlah dagangan di Papan Utama lebih tinggi kepada 1.464 bilion unit bernilai RM1.353 bilion daripada 1.228 bilion saham bernilai RM1.149 bilion kelmarin.
Dagangan di Papan kedua meningkat kepada 79.182 juta bernilai RM23.314 juta berbanding penutup Selasa iaitu 67.920 juta unit bernilai RM17.065 juta. Di Pasaran Mesdaq merosot kepada 81.769 juta bernilai RM11.129 juta berbanding 149.599 juta saham bernilai RM19.162 juta sebelumnya.
Waran menokok kepada 19.925 juta saham bernilai RM2.901 juta daripada penutup kelmarin iaitu 18.395 juta unit bernilai RM2.732 juta. Berdasarkan sektor, produk pengguna menguasai 47.421 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, produk perindustrian 383.997 juta, pembinaan 139.893 juta, urusniaga/perkhidmatan 440.292 juta, teknologi 17.225 juta, infrastruktur 36.703 juta, kewangan 107.817 juta, perhotelan 7.904 juta, hartanah 244.932 juta, perladangan 35.825 juta, perlombongan 14,100, REIT 1.337 juta dan tertutup/dana 361,100. - Bernama