April 25, 2009

Pasaran Pulih Tahun Ini

KUALA LUMPUR 24 April - Pasaran saham tempatan dijangka pulih pada penghujung tahun ini, kata Pengarah Urusan RHB Investment Bank Bhd. (RHB Investment), Chay Wai Leong.

Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan sentimen umum terhadap langkah-langkah pemulihan ekonomi di seluruh dunia menerusi pengenalan beberapa pakej rangsang ekonomi oleh kerajaan terbabit.

''Tahun ini tidak seperti tahun lalu, apabila hampir setiap minggu kita menyaksikan masalah besar berlaku yang menjejaskan pasaran saham tempatan dan dunia. Semua masalah tersebut telah menjadi sejarah.

''Namun masalah masih ada tetapi mungkin tidak seteruk sebelumnya, selain itu sejak kebelakangan ini pasaran serantau turut menunjukkan perkembangan positif dan ini dapat membantu pasaran tempatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian taja jamin Samchem Holdings Bhd. (Samchem) dengan RHB Investment dan MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Amanah) sempena dengan penyenaraian di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Tambah Wai Leong, walaupun bakal mengalami pemulihan, pasaran saham tempatan masih lagi berada dalam keadaan yang tidak menentu pada waktu ini sebelum ia melonjakkan ke arah pemulihan.

Mengulas sektor yang akan menyumbang kepada pemulihan, Wai Leong berkata, perbelanjaan domestik akan membantu memulihkan ekonomi negara kerana banyak mendapat manfaat dari langkah rangsangan ekonomi.

''Sektor seterusnya yang bakal pulih ialah eksport. Pemulihannya perlahan kerana negara pengimport paling besar seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun sedang memulihkan ekonomi domestik mereka,'' jelasnya.

Katanya perbelanjaan domestik akan memberi kesan terhadap sektor seperti pembinaan, bahan binaan dan peruncitan.

Ditanya sama ada langkah mengenepikan syarat pemilikan ekuiti 30 peratus Bumiputera terhadap 27 sektor kecil perkhidmatan akan memberi kesan terhadap pasaran, Wai Leong berkata, ia akan mengenepikan lebih banyak halangan kepada para pelabur.