April 1, 2009

ADB unjur pemulihan ekonomi Asia lewat

Pertumbuhan bagi Malaysia, Thailand dan Singapura dijangka menguncup lima peratus

BANK Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjuran pertumbuhan 2009 bagi negara sedang membangun di Asia berikutan kejatuhan eksport, selain memberi amaran permintaan lemah di Amerika Syarikat (AS) dan pasaran lain akan melewatkan pemulihan.

Bank itu menurunkan tinjauan pertumbuhan bagi negara rantau ini termasuk China, India, Korea Selatan dan negara di Asia Tenggara daripada 5.6 kepada 3.4 peratus.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di Beijing, semalam, ADB juga berkata ketika ekonomi gergasi seperti China dan India berjaya mencatatkan pertumbuhan sederhana, pengeluaran di Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Malaysia dan Singapura dijangka menguncup sehingga lima peratus. "Tinjauan jangka pendek rantau ini amat suram memandangkan kesan penuh daripada kemelesetan yang teruk di negara perindustrian dipindahkan ke pasaran sedang muncul.

"Kebimbangan rantau ini, khususnya negara miskin adalah belum jelas bahawa AS, Kesatuan Eropah dan Jepun akan pulih seawal tahun depan," kata Ketua Ekonomi ADB, Jong-Wha Lee menerusi kenyataan itu.

Tinjauan ADB yang lemah itu juga selari tinjauan Bank Dunia dan pakar ekonomi sektor swasta yang sudah menurunkan tinjauan pertumbuhan Asia apabila permintaan eksport global dan permintaan pengguna Asia sendiri, jatuh lebih teruk daripada jangkaan.

Lee menambah, kejatuhan Asia itu amat teruk sejak krisis kewangan 1997, tetapi kerajaan berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengambil tindakan balas dan mengurangkan kesan penurunan dengan mengambil tindakan pantas.

"Jumlah rizab mata wang asing yang besar dan penurunan kadar inflasi yang stabil menjadi alat diperlukan pembuat dasar Asia untuk merawat negara masing-masing bagi melepasi situasi sukar ini," katanya.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, China cuba mengurangkan pergantungan kepada eksport dengan pelan suntikan sebanyak empat trilion yuan (AS$586 bilion) menerusi perbelanjaan kerja awam, manakala Singapura dan kerajaan lain turut mengumumkan pakej hampir serupa.