March 28, 2009

Penerima Pakej Rangsangan Laksana QE

PERBADANAN Produktiviti Malaysia (MPC) mencadangkan pelaksanaan amalan Persekitaran Kualiti (QE) di kalangan penerima pakej rangsangan yang berjumlah RM60 bilion bagi memaksimumkan kesannya. Menurut MPC, kajian agensi itu baru-baru ini menunjukkan bahawa pelaksanaan amalan QE menyumbang kepada penambahbaikan dalam produktiviti, kualiti tenaga kerja, pengurusan visual dan penyampaian perkhidmatan.

Katanya, 83.7 peratus daripada syarikat yang melaksanakan amalan QE melaporkan pengurangan dalam kerja semula dan dapat mengoptimum ruang lantai dengan susun atur lantai kedai yang lebih baik manakala 78.4 peratus mengalami peningkatan kreativiti kakitangan, kerja berpasukan dan moral.

Bagi pelaksanaan amalan QE, 68.8 peratus responden dalam kajian menerima pengurangan dalam aduan pelanggan, 82.8 peratus gembira dengan peningkatan pengurusan visual dan pengendalian bahan yang lebih cekap serta masa perolehan kembali di kawasan pengeluaran.

"Kecekapan yang lebih baik yang dicapai melalui amalan QE telah menyumbang terhadap jualan yang lebih tinggi dan pengurangan dalam kos operasi," katanya dalam kenyataan semalam.