March 31, 2009

Bursa Malaysia mahu kurangkan perbelanjaan

BURSA Malaysia mensasarkan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 15 peratus dan perbelanjaan modal lebih daripada kadar itu tahun ini, kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Yusli Mohamed Yusoff.

Beliau berkata, Bursa Malaysia, iaitu pengendali bursa saham terbesar Asia berdasarkan nilai pasaran selepas pengendali bursa Hong Kong, Jepun, Australia dan Singapura, kini beralih kepada pendekatan pemuliharaan tunai selepas ia menjangkakan tempoh pasaran yang lemah akan berpanjangan.

“Dari segi perbelanjaan biasa, kami kemungkinan akan mengurangkan sekitar 15 peratus, tetapi dari segi projek, kemungkinan lebih daripada itu, dan kami mahu memberi tumpuan kepada apa yang perlu saja.

“Dulu kami sudah umumkan kemungkinan memperuntukkan perbelanjaan modal lebih daripada RM80 juta, tetapi jumlah itu mungkin akan dikurangkan dengan ketara,” katanya kepada Reuters.

Sementara itu, Bursa Malaysia, yang memiliki lebih daripada RM1 bilion tunai, juga tidak bercadang memperuntukkan sebarang dividen khas. “Kami tidak membayar dividen khas tahun lalu. Kami mungkin akan memberinya apabila keadaan pulih, tetapi kami akan membayar dividen biasa,” katanya.

Bursa Malaysia memiliki dasar dividen untuk membayar 75 peratus daripada keuntungan bersihnya. Syarikat itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku pertamanya bulan depan