Urus niaga sepadu tingkat daya saing, tarik dana antarabangsa
BURSA Malaysia bersama empat bursa saham utama Asean merangkumi Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, semalam bersepakat menyepadukan urus niaga bursa masing-masing menerusi penubuhan rangkaian hubungan dagangan elektronik (e-trading) Asean.
Langkah itu akan membolehkan pelabur, mulai tahun depan berurusniaga secara terus di pasaran terbabit, yang mempunyai permodalan pasaran keseluruhan mencecah lebih AS$1 trilion.
Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, penubuhan rangkaian hubungan dagangan elektronik Asean itu akan meningkatkan daya saing pasaran ekuiti negara masing-masing.
“Rangkaian e-trading Asean itu menerusi akses tunggal setempat akan membolehkan urus niaga antara sempadan Asean dan bakal menarik lebih banyak dana antarabangsa ke rantau ini,” katanya dalam kenyataan bersama semalam.
Memorandum persefahaman bagi penubuhan e-trading Asean itu dimeterai Bursa Malaysia, Bursa saham Singapura (SGX), Bursa Saham Indonesia, Bursa Saham Filipina (PSE) dan Bursa Saham Thailand (SET), di Bangkok, semalam.