BANK Dunia menganggar sejumlah 53 juta rakyat di negara sedang membangun akan kekal dalam kemiskinan susulan kelemba-pan ekonomi global yang tercetus ekoran daripada krisis kewangan yang bermula di Amerika Syarikat.
Malaysia dan Thailand bagaimanapun mengikut bank itu adalah antara negara sedang membangun di Asia Tenggara yang dikategorikan sebagai tidak berdepan isu kemiskinan tetapi hanya mengalami penurunan pertumbuhan.
Bank Dunia dalam kenyataan menerusi laman webnya berkata, antara negara Asia sedang membangun yang terdedah kepada perangkap kemiskinan adalah Bangladesh, Kemboja, Indonesia, India, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.
“Kegawatan ekonomi akan merencatkan usaha dalam mengurangkan kadar kemiskinan di negara sedang membangun. Dianggarkan 40 peratus daripada 107 negara sedang membangun di seluruh dunia adalah ‘amat terdedah’ kepada krisis global,” kata kenyataan itu.
Bank itu menggesa negara maju menyumbang 0.7 peratus daripada pakej menyelamat mereka bagi membantu golongan miskin di negara sedang membangun. Jelasnya, krisis global akan menyebabkan lebih 46 juta rakyat terjerumus di bawah paras kemiskinan tegar iaitu berpendapatan AS$1.25 (RM4.51) sehari dan tujuh juta lagi berpendapatan di bawah AS$2 (RN7.21) sehari.
Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, berkata ancaman krisis global boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan di sebahagian besar negara sedang membangun, melainkan mereka mengambil langkah melindungi golongan miskin.
Beliau juga berkata, krisis semasa akan memperlahankan pembangunan untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak susulan tekanan kemiskinan. “Jumlah kematian kanak-kanak dianggarkan antara 200,000 hingga 400,000 setahun, jika krisis itu berlarutan,” kata Zoelick.