January 6, 2009

Sektor Kewangan Terus Tawar Peluang Pekerjaan

Oleh Azli Ayobazliayob@bharian.com.my

SEKTOR perkhidmatan kewangan di Malaysia dan beberapa negara Asia masih menawarkan peluang pekerjaan, di sebalik kemelesetan ekonomi dunia pada masa ini. Ketua Eksekutif Institut Bank-bank Malaysia (IBBM), Dr Mohd Kamal Khir, berkata peluang pekerjaan dalam sektor perbankan di Malaysia misalnya ditawarkan menerusi penambahan cawangan baru di kalangan industri perbankan, selain pertumbuhan yang masih berlaku dalam industri insurans serta takaful tempatan.

Katanya, graduan tempatan dalam bidang kewangan dan perbankan juga berpeluang bekerja di pasaran lain seperti di Singapura, Hong Kong dan Asia Barat terutama dalam bidang perbankan Islam.

“Negara berkenaan sedang membangunkan sektor kewangan Islamnya yang sudah pasti membuka peluang kepada graduan Malaysia dalam bidang itu,” katanya selepas majlis penerimaan kumpulan ketiga 110 peserta baru Program Penambahbaikan Tenaga Mahir Sektor Kewangan (FSTEP) di Kuala Lumpur, semalam.

FSTEP yang diuruskan IBBM dan disokong Bank Negara Malaysia mengambil pelajar pertamanya pada September 2007 bagi melatih dan menyediakan graduan berkelayakan untuk bekerja dalam institusi perkhidmatan kewangan. Mohd Kamal berkata, sehingga tahun lalu, industri perkhidmatan kewangan tempatan menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

“Masih terdapat kekurangan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan terutama sektor perbankan Islam,” katanya. Mengenai program FSTEP, Mohd Kamal berkata, latihan setahun dalam bidang perkhidmatan kewangan yang disediakan di pusat berkenaan bertujuan memenuhi permintaan daripada sektor perkhidmatan kewangan yang mencari graduan berkualiti untuk bekerja dalam industri berkenaan.

FSTEP, katanya, bukan saja melatih graduan dalam disiplin perniagaan dan perbankan tetapi lulusan daripada pelbagai disiplin lain. “Permohonan bagi mengikuti latihan di sini turut dibuka kepada mereka yang sedang bekerja dalam sektor bukan kewangan tetapi berminat untuk meneruskan kerjaya dalam industri kewangan,” katanya.

Beliau berkata, program itu disasarkan kepada pelajar berkaliber yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang diberikan elaun bersih RM2,200 sebulan sepanjang tempoh kursus. Mohd Kamal berkata, kumpulan pertama yang membabitkan 290 peserta telah menamatkan program itu bulan lalu dan kira-kira 60 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kewangan selepas tamat kursus.

Kumpulan kedua seramai 208 peserta pula akan menamatkan program itu Jun ini manakala kumpulan ketiga yang mendaftar Jumaat lalu akan tamat pengajian pada Disember ini, katanya. “Kami mensasar mengeluarkan kira-kira 1,500 peserta daripada program ini menjelang akhir 2010,” katanya.

Program FSTEP disokong pertubuhan dan institusi termasuk Persatuan Bank-Bank di Malaysia, Persatuan Bank Pelaburan Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia, Institusi Bank Malaysia, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia dan Institut Insurans Malaysia.

Sertai kami sebagai Perunding Unit Amanah & Wakil Insuran!Hubungi Nuang at 012-6120874

No comments:

Post a Comment