PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata daripada jumlah RM7 bilion dari pakej rangsangan pertama, RM5 bilion telah dipindahkan ke pelbagai kementerian dan agensi yang beroperasi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata RM2 bilion lagi akan dipindahkan pada minggu depan. “Jadi keseluruhan jumlah itu akan berada di dalam tangan kementerian berkenaan dan mereka perlu mengambil tindakan segera,” katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai masa pengumuman pakej rangsangan kedua itu akan dilakukan, katanya kerajaan akan memutuskan mengenainya. “Pada peringkat ini, kita mahu memastikan RM7 bilion itu dibelanjakan dengan segera.
Berkata satu pakej rangsangan kedua akan diperkenalkan untuk membantu syarikat dan para pekerja yang menerima kesan iklim ekonomi yang kian perlahan. Katanya butiran, ciri-ciri dan fokus pakej rangsangan kedua itu masih dikaji dan dibincangkan dengan pelbagai pihak.
Pada November, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan RM7 bilion yang bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi 3.5 peratus pada tahun ini. - Bernama