PASARAN saham tempatan dijangkakan beransur pulih dan kurang berdepan risiko dagangan yang tidak menentu menjelang separuh kedua tahun ini apabila pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan tahun lalu mula menunjukkan hasilnya.
Ketua Eksekutif OSK-UOB Unit Trust Management Bhd, Ho Seng Yee, berkata namun di sebalik unjuran positif itu, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mungkin sukar melepasi paras 1,000 mata tahun ini kerana kesan kelembapan ekonomi global yang dijangkakan masih lagi belum reda.
"Saya jangka KLCI bergerak dalam jajaran antara 850 hingga 960 mata tahun ini," katanya selepas pelancaran dana pertama syarikat itu untuk tahun ini, OSK-UOB Capital Protected KLCI Advantage Fund.
Pada hari pertama dagangan tahun ini Jumaat lalu, KLCI mencatat permulaan positif dengan merekodkan peningkatan dua angka iaitu 17.61 mata atau 2.01 peratus untuk menutup dagangan sulungnya bagi tahun ini pada 894.36 mata.
Penanda aras utama pasaran saham tempatan itu dibuka pada 878.30 mata, meningkat 1.55 mata daripada penutup 31 Disember 2008 dan melonjak ke paras tertinggi hariannya pada 897.26 mata pada awal sesi petang.
Ia terus mencatat prestasi memberangsangkan pada Isnin, apabila kembali melepasi paras 900 mata buat kali pertama dalam tempoh dua bulan apabila melonjak 26.3 mata atau 2.94 peratus kepada 920.66 mata daripada penutup Jumaat.
Terakhir indeks itu berada di atas paras 900 mata ialah 5 November 2008 iaitu 915.52 mata sebelum menjunam susulan keruntuhan beberapa institusi kewangan di Amerika Syarikat (AS). Ho berkata, bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan menarik semula keyakinan pelabur tempatan, kerajaan perlu menambah pakej rangsangan ekonominya.
No comments:
Post a Comment