MALAYSIA perlu menilai semula paradigma sedia ada bagi mengukuhkan kepemimpinannya dalam industri kewangan Islam kerana semakin banyak negara turut serta dalam bidang itu.
"Perlumbaan sudah bermula dalam sektor kewangan Islam," kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim. November lalu, Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde mengumumkan hasrat Perancis menjadikan Paris sebagai 'pusat kewangan Islam'.
"United Kingdom pula kini dalam proses perundingan untuk menerbitkan sukuk," kata Muhammad. Beliau berkata, Singapura telah melancarkan Dana Dagangan Elektronik Islam, Hong Kong juga mahu menjadi hab kewangan Islam manakala Jepun membenarkan bank menawarkan kewangan Islam.
Untuk kekal sebagai pusat kewangan Islam utama, beliau berkata, Malaysia, antara lain, perlu menglobalisasikan sistem pendidikannya kerana kualiti pendidikan akan menentukan kelebihan saingan negara.
"(Kita juga wajar) menarik ahli akademik serta penyelidik profil tinggi dan berbakat untuk mempromosikan budaya menyelidik dan dahagakan ilmu, dan menanda aras sistem pendidikan secara berterusan." katanya.
Malaysia, katanya, juga perlu mewujudkan kerangka kerja bagi menarik bakat terbaik ke negara ini. Muhammad juga berkata, jurang tidak boleh wujud antara dasar dan pelaksanaan. "Visi yang kukuh perlu disokong menerusi pelaksanaan pragmatik dan keupayaan untuk membuat perubahan dasar struktur mengikut masa yang tepat," katanya.
Usaha seumpama itu boleh dilaksanakan memandangkan Malaysia sudah mempunyai kelebihan sebagai penggerak pertama, kata Muhammad. "Malaysia sehingga ini adalah pusat terbitan sukuk terbesar di dunia.
Transaksi pasaran wang Islam melebihi RM1 trilion setahun dan industri itu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhannya," katanya.