January 16, 2009

Kewangan Islam Tidak Terjejas Kegawatan Global

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Kewangan Islam di Malaysia tidak terjejas daripada kesan krisis ekonomi global berbanding dengan perbankan konvensional, kata Ketua Pegawai Akademik Pusat Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi.

Katanya industri yang turut menyaksikan kemerosotan kecil pertumbuhan, turut dijangka pulih dengan segera."Kami menjangka pertumbuhan dicatatkan dengan segera mulai suku tahun keempat tahun ini,"

katanya kepada pemberita di sini, Rabu.Sektor kewangan Islam negara ini, yang mencatatkan pertumbuhan kukuh dua angka di dalam lewat 1990'an, turut dijangka berkembang lebih pantas daripada perbankan konvensional, kata Othman.

Ketika ditanya sama ada persengketaan Israel-Palestin kemungkinan memburukkan krisis ekonomi global semasa, katanya isu itu tidak akan memberi kesan terhadap iklim global kerana iklim ekonomi global sudah pun buruk.

Mengenai langkah memboikot produk AS oleh sesetengah rakyat Malaysia, katanya perniagaan perlu dilakukan seperti biasa.Katanya Malaysia juga perlu terus mengadakan perdagangan dengan Amerika Syarikat walau pun ekonomi terbesar dunia itu menghadapi kesan krisis ekonomi terburuknya.

"Saya tidak merasakan kita perlu menghentikan perdagangan dengan AS. Kita perlu berdagang dengan mereka sebanyak mungkin kerana ekonomi mereka dijangka melantun semula. Ia akan memakan masa tetapi ia akan melantun semula," katanya.-- BERNAMA