Oleh ADHAM SHADANadham.shadan@kosmo.com.my
Apakah ramalan-ramalan bagi tahun 2009 oleh pakar-pakar yang mencakupi bidang ekonomi?
KRISIS ekonomi dunia turut mempengaruhi bidang-bidang lain pada tahun 2009.
TAHUN 2009 dijangka memberi cabaran yang besar buat ekonomi di seluruh dunia. Dengan kemerosotan ekonomi negara-negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah Barat dan Jepun, negara-negara membangun di Asia, Afrika dan Asia Barat akan mengalami kesulitan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi.
Laporan Tinjauan Masa Depan Asia Pasifik 2009 yang dikeluarkan oleh ahli ekonomi Moody's Economy.com, Sherman Chan mengunjurkan, separuh kedua tahun 2008 adalah sukar, tetapi 2009 akan menjadi semakin mencabar.
Keadaan ekonomi yang buruk ini sebenarnya sudah kelihatan pada suku terakhir tahun 2008 apabila banyak syarikat dan firma-firma gergasi AS gulung tikar.
Hampir keseluruhan institusi kewangan di AS terutama yang terbabit dengan pembiayaan pembelian hartanah lumpuh dan pasaran kreditnya beku.
Disebabkan ekonomi dunia diterajui AS dan mata wang didagangkan dalam dolar Amerika, maka kesemua negara yang mempunyai pergantungan dengannya dijangka turut terjejas.
Penurunan harga komoditi seperti minyak mungkin melegakan pengguna tetapi penurunan menjunam pada kadar 70 peratus setelah kenaikan tertinggi pada Julai lalu turut memberi kesan kepada ekonomi negara-negara membangun.
Agensi berita antarabangsa AP melaporkan harga minyak setong pada tahun 2009 dijangka pada kadar purata AS$75 (RM261) setong, amat jauh bezanya dengan kenaikan tertinggi yang pernah dicapai iaitu AS$147 (RM512) setong Julai lalu.
Krisis ekonomi itu turut dijangka membawa kepada lebih banyak masalah pengangguran apabila pekerja-pekerja terpaksa diberhentikan.
Pakar ekonomi Malaysia, Senator Dr. Ismail Mohd. Salleh berkata, keadaan ekonomi di AS turut membawa tempias kepada negara ini.
"Pengangguran di negara ini akan meningkat kepada lebih empat peratus terutama dalam sektor industri elektronik," kata Ismail. Beliau menjelaskan, keadaan itu berlaku berikutan kebanyakan produk elektronik Malaysia dieksport ke negara-negara Barat.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut menjangka pemberhentian pekerja di negara ini akan serius pada tahun 2009 dengan anggaran 200,000 hingga 400,000 orang hilang pekerjaan seperti yang dilaporkan.
Sungguhpun begitu, berasaskan pelan strategik kerajaan dan asas ekonomi Malaysia yang baik, Ismail tetap menjangka Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi pada tahun 2009 dalam lingkungan antara tiga hingga 3.5 peratus.
Beliau menjangkakan kadar inflasi negara akan berlegar dalam lingkungan dua peratus dan defisit fiskal pula pada kadar lebih lima peratus.
No comments:
Post a Comment