January 18, 2009
Bisnes Dunia: Pakej Ransangan AS825b DiRancang
AS usaha elak alami kemelesetan lebih terukPENGGUBAL dasar daripada parti bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mencadangkan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$825 bilion bertujuan mengeluarkan ekonomi AS daripada kemelesetan teruk.
“Pakej yang membabitkan penurunan cukai bernilai AS$275 bilion dan pelaburan bernilai AS$550 bilion itu akan dibahaskan Kongres dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata seorang jurucakap jawatankuasa Dewan Perwakilan AS.
Cadangan itu yang terkandung dalam Rang Undang-undang Pemulihan dan Pelaburan Semula Amerika itu adalah langkah penting yang pertama dibuat dalam usaha bersepadu bagi mewujud dan menyelamatkan antara tiga hingga empat juta pekerjaan.
Menurut rang undang-undang itu, pakej itu juga akan melonjakkan semula ekonomi AS dan memulakan proses transformasi abad ke-21. Ia akan merangkumi pemotongan cukai pemulihan ekonomi bernilai AS$275 bilion dan AS$550 bilion pelaburan dalam sektor yang wajar dan difikirkan sesuai dengan penyediaan beberapa langkah bertanggungjawab yang belum wujud sebelum ini, demikian menurut ringkasan rang undang-undang itu.
“Ekonomi dalam keadaan amat sukar, walaupun dengan pelaksanaan pakej ini, kadar pengangguran dijangka meningkat kepada antara lapan hingga sembilan peratus tahun ini,” jelasnya. “Tanpa pakej ini, kami diberikan amaran bahawa kadar pengangguran mampu meledak hampir 12 peratus,” jelas ringkasan itu.
Tahun lalu kadar pengangguran di AS melonjak kepada 7.2 peratus, paras tertinggi dalam tempoh 16 tahun. Penggubal Dasar Kanan Parti Demokratik, Charles Rangel, menyifatkan pakej itu sebagai langkah permulaan dan ia akan menyediakan manfaat utama antara lain dari segi penurunan cukai, kesihatan dan latihan pekerjaan kepada rakyat serta insentif kepada perniagaan.
Obama yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari ini juga mendesak Kongres meluluskan baki pelan menyelamat sektor kewangan bernilai AS$700 bilion yang dilaksanakan pentadbiran George W Bush.
AS akan membuat undian pada Khamis depan untuk mempertimbang permintaan oleh sebilangan wakil Republikan untuk menyekat pelaksanaan baki AS$350 bilion daripada tabung Program Menyelamat Aset Bermasalah (TARP).
“Pelan pemulihan ekonomi baru dibangunkan dengan kerjasama mantap antara Ketua Rumah Perwakilan dan Senat, Obama dan pasukan ekonominya,” kata Rangel yang juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Dewan Perwakilan, antara lain bertanggungjawab memantau langkah percukaian dan pengutipan hasil. Beliau yakin pelan itu akan siap dirangka minggu depan sebelum dibentang kepada Kongres. - AFP